Sopan Eh – 21 Wanita Berpakaian Ketat Terima Notis

ANGGOTA penguatkuasa Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB) dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) negeri menjalankan operasi `Ops Sopan’ di kawasan terbuka di pasar raya, beberapa hotel dan kawasan peranginan di bandar ini terhadap wanita yang gagal mematuhi cara pemakaian patuh syariah.

KOTA BHARU: Seramai 21 wanita diberikan notis untuk menghadiri sesi kaunseling atas kesalahan gagal berpakaian patuh syariah dalam `Ops Sopan’ di sekitar daerah ini di sini, kelmarin.

Dalam operasi jam 5 petang hingga 8 malam itu, empat wanita turut disaman untuk hadir ke Mahkamah Syariah selepas didapati mengulangi kesalahan sama.

Operasi oleh Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam itu mendapat kerjasama beberapa agensi penguatkuasaan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kelantan (JAHEAIK) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Sumber MPKB-BRI memberitahu operasi dilakukan di kawasan terbuka di pasar raya, hotel dan kawasan peranginan di bandar ini terhadap wanita yang gagal mematuhi cara pemakaian patuh syariah.

“Kami mengeluarkan 21 notis kepada individu yang melakukan kesalahan pertama berpakaian ketat dan empat saman untuk hadir ke Mahkamah Syariah kepada wanita yang mengulangi kesalahan sama,” katanya.

Tindakan berkenaan diambil mengikut Seksyen 5 Enakmen Kanun Jenayah Syariah 1985.

Dalam operasi itu, sebanyak 1,000 keping risalah diedarkan kepada orang awam terutama wanita.

Ia bertujuan memberi kesedaran supaya memakai pakaian yang menutup aurat di tempat awam.

Sumber: BH Online 17-Apr-18

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*